corporate-members-news

LCDA Menang Anugerah Khas COMMAP & Pingat Emas PSIA

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) hari ini meraih kejayaan cemerlang di Malaysia Technology Expo (MTE) 2025 dengan memenangi Anugerah Khas menerusi inovasi COMMAP: A Smart Digital Platform for Community Engagement Planning, yang diiktiraf oleh State Social Protection Fund of Azerbaijan (SSPF).

LCDA turut dianugerahkan Pingat Emas dalam kategori Public Service Innovation Award (PSIA), mengukuhkan lagi peranan mereka dalam membangunkan platform digital pintar untuk perancangan dan penglibatan komuniti.

Pemangku Pengurus Besar LCDA, Kusyairi Bostani telah menerima anugerah ini mewakili LCDA.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee.

ComMap merupakan platform digital pintar yang direka untuk memudahkan proses perancangan pembangunan melalui penglibatan komuniti yang lebih berkesan terutamanya berkenaan dengan sesi libat urus.

Kejayaan ini turut disertai oleh organisasi lain dari Sarawak seperti Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak yang juga membawa pulang anugerah atas pelbagai inovasi teknologi.

Selain PSIA, MTE 2025 turut menampilkan pelbagai kategori lain seperti Asian Youth Innovation Awards yang memberi penghormatan kepada inovasi luar biasa oleh golongan muda di rantau Asia, serta International Innovation Awards, yang mengiktiraf penyelesaian inovatif dari pelbagai sektor di peringkat global.

Kejayaan ini membuktikan bahawa inovasi dan teknologi terus menjadi pemacu utama dalam pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Untuk rekod, MTE 2025 merupakan salah satu pameran teknologi dan inovasi terkemuka di Malaysia, yang menghimpunkan pencipta, penyelidik, dan usahawan dari pelbagai bidang untuk mempamerkan ciptaan serta idea baharu. -EDISI UKAS

PSIA yang bertujuan mengiktiraf penyelesaian inovatif dalam sektor perkhidmatan awam. -EDISI UKAS